Berikutan kejadian yang berlaku di kawasan bergolak Patani Darussalam baru-baru ini, yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan penderitaan orang awam, BRN ingin menyatakan rasa dukacita dan simpati kepada keluarga mangsa.
BRN ingin menegaskan bahawa, kami tidak mempunyai dasar menyerang sasaran orang awam dan tetap berpegang kepada prinsip perjuangan yang menghormati nyawa, maruah dan hak asasi semua pihak.
Dasar Perjuangan untuk Kebebasan dan Maruah Bangsa Rakyat Melayu Patani.
BRN berpegang teguh kepada hak menentukan nasib sendiri bagi rakyat Melayu Patani. Kami akan terus berjuang dengan mematuhi prinsip hak asasi manusia sajagat dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Kami menolak sebarang bentuk keganasan terhadap orang awam yang tidak bersalah, dan akan memberi tumpuan kepada pembinaan ruang politik yang adil dan inklusif supaya rakyat dapat menentukan masa depan mereka tanpa penindasan oleh negara Thai.
Sebarang bentuk keganasan terhadap rakyat hendaklah disiasat secara telus. Kami menyeru agar semua pihak baik kerajaan Thai mahupun kumpulan perjuangan menghindari tindakan yang membahayakan orang awam.
Perjuangan kami adalah demi kebebasan dan maruah rakyat Patani, bukan untuk menyebar ketakutan. Marilah kita bersama teguh berdiri dengan aman dan bijaksana.